Namun sebagai ibu, saya tak pernah lupa untuk meminta maaf pada anak-anak bila keadaan mulai reda. Ini adalah amalan saya sejak dulu, kerana pada saya 'kemaafan' - (sama ada yang meminta maaf atau yang memaafkan) itu adalah satu proses dalaman yang mampu mendidik diri dan anak-anak untuk berdepan dengan apa jua kesilapan diri.
Saje nak share rasa ralat sebagai ibu yang kadang-kadang x mampu mengawal emosi bila berdepan keadaan ini. Moga jadi panduan pada diri dan semua ye?
Terjumpa artikel ni tapi x ingat sumber mana ek?
ADAKALANYA ibu bapa terpaksa berhadapan dengan anak-anak yang sudah mula pandai mengamuk. Ramai yang menjadi tidak sabar lalu marah dan paling buruk menggunakan kekerasan untuk menangani masalah ini.
Akibatnya, keadaan ini bukan boleh diselesaikan begitu sahaja malah menjadi bertambah buruk lagi.
Pakar Psikologi di salah sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Rose Peng menyatakan pada usia dua hingga lima tahun anak-anak sudah mula menunjukkan keperibadian mereka sebenar walaupun pada masa yang sama masih tetap bergantung kepada kedua ibu bapa.
Menurut beliau, dengan kebolehan bercakap yang belum lancar, anak-anak akan mencari cara lain untuk meluahkan kehendak dan emosi mereka.
Akhirnya mereka menjadi anak-anak yang suka mengamuk akibat daripada perasaan kecewa, tidak puas hati serta inginkan perhatian.
”Dalam keadaan begini ibu bapa seharusnya menghadapi mereka dengan sabar dan cuba memahami situasi anak-anak tersebut. Jangan terlalu mengikut kehendak anak dan begitu juga sebaliknya jangan terlalu menentang,” katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Menurutnya, jika ibu bapa terlalu mengikut kehendak anak, akan menyebabkan anak cenderung menjadi seorang yang manja dan tidak begitu yakin kepada diri sendiri. Kerenahnya pun semakin menjadi-jadi.
Oleh itu kata, Dr. Rose setiap ibu bapa perlu menangani masalah ini dengan bijak agar tidak mendatangkan masalah kepada mereka apabila dewasa kelak.
Salah satu caranya ialah ibu bapa boleh bersikap seolah-olah tidak terpengaruh dengan teriakan atau jeritan anak. Sekiranya ibu bapa sedang melakukan sesuatu misalnya sedang menyapu sampah atau sedang memasak, teruskan sahaja.
Namun begitu jangan sesekali mengunci mereka di dalam bilik sendirian.
Dengan cara ini anak akan terus mencari jalan mendapatkan perhatian ibu bapa antaranya dengan mengikut anda sehingga rasa letih dan membuatkan dia berhenti menangis.
”Semua ini bergantung kepada tahap kesabaran anda. Semakin bersabar, maka semakin berhasillah usaha anda menangani anak mengamuk. Jika sebaliknya anda perlu memikirkan cara yang lain pula,” ujarnya.
Memaksa anak tidak semestinya mendatangkan keburukan asalkan bersesuaian dengan keadaan dan tempat.
Menurutnya, ibu atau bapa boleh mendukung anak ke bilik tidur. Kemudian katakan kepada anak jika sudah berhenti menangis barulah boleh keluar bilik.
Dengan cara ini, ibu atau bapa bukan sahaja dapat menenangkan keadaannya tetapi secara tidak langsung mengajar mereka mencari tempat yang sesuai untuk melepaskan perasaan.
Dalam erti kata lain memberi anak tahu rasa kecewa dan tidak puas hati ini perlu dilepaskan tetapi ditempat yang sesuai dan selamat.
Adakalanya kata Rose, cara ini akan menjadi satu kebiasaan pula kepada mereka apabila berasa kecewa mereka akan masuk ke bilik untuk melepaskan kemarahan.
”Sekiranya anak anda sudah kembali tenang, sambutlah mereka dengan senyuman dan tidak perlu diungkit lagi perkara yang sudah berlalu,” ujarnya.
Salah satu cara terbaik untuk menangani masalah anak mengamuk ialah cuba mengalihkan perhatian mereka.
Sebagai contoh katanya, cuba alihkan perhatian mereka kepada sesuatu yang menarik seperti menunjukkan buku dan gambar yang disukai.
Jika ketika itu ibu atau bapa dalam perjalanan, tunjukkan mereka sesuatu yang menarik di luar sehingga membuatkan mereka lupakan kemarahan.
Selain itu katanya, ibu bapa juga perlu memahami masalah mereka dengan bertanyakan apakah sebenarnya yang dimahukan atau cuba dalami rasa kecewa mereka.
Ini katanya, secara tidak langsung membantu anak anda meluahkan rasa tidak puas hati dan kecewa mereka kepada orang lain.
Namun begitu, ibu bapa perlu ingat cara ini juga mempunyai risiko yang tinggi. Jika tidak berhati-hati boleh membuatkan anak-anak berasa lebih kecewa.
Tambah beliau, seseorang yang tidak sabar tidak begitu sesuai menggunakan pendekatan ini kerana anak akan semakin kuat mengamuk dan anda akan semakin bosan menghadapinya.
Dr. Rose juga memberitahu, sesetengah ibu bapa cuba meluahkan pandangan mereka tetapi ini hanya sesuai digunakan terhadap anak yang lebih dewasa dan boleh diajak berbincang.
Ibu bapa katanya, perlu menjelaskan mengenai apa yang dirasakan oleh mereka terhadap anak sekiranya mereka ber-sikap sedemikian.
Beliau memberi contoh, ibu atau bapa boleh menggunakan ayat seperti, ”Ibu sedih melihat kamu begini…” Bagaimanapun cara ini juga perlu dilakukan secara berhati-hati dan jangan sekali-kali menyentuh perasaan anak dengan menggunakan perkataan yang kurang sedap didengar antaranya ”Ibu bosan dengan perangai kamu ini…”
Kedua-dua ayat ini katanya, mempunyai pengertian yang berbeza. Ayat yang pertama lebih menekankan kepada perbuatan anak, sedangkan ayat kedua lebih menyentuh perasaan ibu bapa.
Ibu bapa juga boleh menyatakan perasaan mereka dengan cara yang lebih baik lagi seperti memberitahu anak jika tidak berkelakuan sedemikian lebih menggembirakan mereka.
Melalui cara ini anak akan sedar bahawa tindakannya itu akan mempengaruhi orang lain. Apabila dia berhenti mengamuk ada orang lain yang akan berasa gembira.
Sekali sekala tidak menjadi salah sekiranya ibu bapa menurut kehendak anak. Namun begitu kemahuan tersebut hendaklah munasabah dan berupaya dipenuhi mereka.
Menurut Dr. Rose lagi, ibu bapa tidak perlu terlalu berkeras hanya kerana anak ingin makan gula-gula. Jangan kerana hanya sebiji gula-gula, anak-anak akan menjadi seorang pemberontak dan sering mengamuk.
Kemarahan dan rasa tidak puas hati anak adalah sesuatu yang sukar dielakkan oleh ibu bapa.
”Ibu bapa perlu mengetahui beginilah caranya anak-anak menjalani proses pembesaran dan pembelajaran mereka. Oleh itu sebagai ibu bapa, kita harus bijak menanganinya,” katanya.
Jika ibu bapa benar-benar memahami sikap dan kerenah anak-anak, mereka tentulah menemui cara terbaik untuk mengatasinya tanpa menghadapi apa-apa masalah yang besar.
Bersesuaian dengan proses tumbesaran kanak-kanak yang sedang mempelajari dan memahami tentang perkara buruk dan baik, sudah pasti masalah mengamuk ini akan hilang sedikit demi sedikit dalam diri mereka apabila mereka meningkat besar.
Oleh: ROSLAH OTHMAN
No comments:
Post a Comment