from http://www.wardinasafiyyah.com/penulisan/psikologi-a-cinta/60-iq-atau-eq
Alkisah seorang pelajar yang sentiasa mendapat A, kemudian pada suatu hari mendapat satu huruf yang tidak diduga di atas kertas periksa.. Tertera huruf B besar berwarna merah di sebelah kanan kertas jawapannya. Anak muda bijak ini tidak mampu mengawal diri, amat marah, kecewa dan luka. Marahnya ditujukan kepada guru yang memeriksa kertas periksanya. Kerana terlalu marah tayar guru dipancitkan dan dicalar keretanya. Nah persoalannya, bijak kah anak ini?
Bijak yang tidak berapa bijak mungkin? Ya pastinya bijak dari segi IQ nya. Jika tidak, tak mungkin deretan A itu menjadi biasa bagi dirinya. Tetapi malangnya anak muda ini tidak bijak dalam satu lagi komponen yang amat penting bagi diri seseorang yang bergelar manusia. Komponen itulah yng dinamakan dengan kemahiran emosi atau Emotional Quotient (EQ). Ya ramai remaja dan orang dewasa tidak memiliki, tidak juga diajar dan tidak begitu ambil peduli dengan kemahiran emosi. Maka lahirlah generasi yang sering resah, gelisah, sedih, kecewa, marah, berdendam dan sebagainya. Kemudiannya ini akan melarat kepada perbuatan mencederakan diri seperti bunuh diri dan mencederakan orang lain.
Di dalam zaman dan suasana dimana faktor IQ dan A itu amat dititikberatkan ,seseolahnya itulah penentu kejayaan individu, ironinya seorang yang memiliki IQ yang tinggi tidak semestinya akan berjaya dalam hidup kerana menurut kajian, IQ hanya mempengaruhi 6-20% keberhasilan manusia, sebaliknya 80% daripada kejayaan seseorang ditentukan oleh EQ kita. Daniel Goleman berpendapat bahawa EQ adalah kunci kejayaan kerana ianya membawa kita kepada penggunaan intelek dengan sihat. Emosi itu dari hati, dan hati itu kunci dan raja. Elok hati eloklah segalanya. Intelek itu dari akal, memberi rasional kepada pelbagai perkara dalam kehidupan. Adakalanya akal kita berkata lain dan hati kita pula membisikkan sesuatu yang berbeza. Adakalanya kita berkata pada diri ‘ok’ tetapi perasaan dan air mata tetap keluar. IQ dan EQ iaitu intelek dan emosi akan dicampuradukkan senantiasa sepanjang hidup kita.
Komponen EQ tidak dapat kita ukur dengan kertas, pen dan tidak pula dapat kita berikan gred A, B, C atau D mahupun F. Ngerinya jika difikirkan kalaulah sekiranya anda terpaksa menduduki perperiksaan EQ bagaimana agaknya gred kita? Begini para pembaca. Secara rambang dalam kepala cuba anda bertanya pada diri samada anda boleh:-
• memotivasikan diri sendiri?
• Bangun dari kekecewaan?
• mengawal diri dan mood dari terlalu marah, sedih dan kecewa?
• bijak mengawal stress dan tekanan?
• merasa empati pada orang lain ?
Emosi ini sesuatu yang sangat kompleks. Emosi terdiri dari berbagai komponen berbeza yang saling mempengaruhi sesama sendiri. Emosi mempengaruhi keadaan fizikal dan mental seseorang. Bila kita sedih contohnya motivasi kita akan menurun, bila kita gembira dopamine dan serotonin di dalam otak meningkat dan ini memberi kita lebih motivasi untuk melakukan sesuatu.
[ Gambar hiasan ]
Keperluan emosi meningkat sewaktu kita di alam remaja. Berikan perhatian kepada emosi mu dan bukan hanya kepada buku teks itu. Ibu bapa berbual lah mengenai emosi dan perasaan. Bantulah anak-anak muda ini mengawal dan mengenali emosi diri. Ingat manusia itu bukan hanya telinga, mulut dan hidungnya tetapi manusia itu terdiri dari hati, akal, perasaan dan nafsunya.
Bagaimana kita menguruskan emosi banyak bergantung kepada faktor persekitaran dan pembelajaran. Kita melihat bagaimana orang dewasa di rumah kita contohnya ibu dan ayah kita menguruskan emosi mereka. Kita banyak belajar dari sana. Tetapi sekiranya kita sekarang sedar bahawa cara ibu dan ayah tidak berapa tepat dan baik, maka kita perlu bangun dan mencari ilmu supaya kita lebih bijak mengenali diri dan mengawal emosi. Ini amat penting dan akan menentukan kebahagian juga kejayaan anda kelak di masa hadapan baik dalam kerjaya, perhubungan sesama manusia dan keluarga. Kebanyakan kita dalam sibuk mengajar material dunia lupa kepada pentingnya ilmu menguruskan emosi. Tetapi kata guru saya yang tercinta “Wardina, sekiranya kita ini Mu’min, kita tak akan rasa terlau sedih, terlalu kecewa, terlalu marah…” Dan ini hanya akan terjadi sekiranya kita dekat dengan Al-Quran dan IKHLAS dalam apa yang kita lakukan. Ingat ya sedih tidak mengapa, marah juga tidak mengapa tetapi seperti kata Aristotle :
“Semua orang boleh marah-marah itu mudah. Tetapi untuk marah kepada orang yang betul, dengan kadar yang betul, pada masa yang betul, kerana sebab yang betul dan dengan cara yang betul-itu tidak mudah”
Para pembaca, mengawal emosi bererti kita boleh mengawal perasaan ketika terjadinya perkara positif DAN negatif pada diri. Itulah sabar. Dan sahabat baik kepada sabar adalah syukur. Orang yang bersyukur akan pasti sabar dan mereka yang sabar itu InsyaAllah adalah orang-orang yang selalu bersyukur dengan apa yang ada. Akhir kata, mengawal emosi dan kecerdasan emosi atau kemahiran emosi tidak boleh dipisahkan dengan satu lagi kemahiran yang sering dipandang sipi-sipi. Kerana tiada kemahiran inilah masyarakat dan manusia lompang, rosak dan tenat keadaannya. Kemahiran Spiritual yang Alhamdulillah telah memberikan saya sinar baru dalam hidup.
Untuk menyimpulkan perbincangan ini, secara ringkas kemahiran emosi menuntut kita untuk :
1. Mengenali emosi diri sendiri -. Teringat kata-kata ini, “Siapa Kenal Diri Maka Dia Kenal Tuhan”
2. Mengurus emosi dengan baik -Orang yang sering stress dan terlalu sedih tidak pandai mengurus emosinya. (Jangan bimbang kita boleh belajar)
3. Memberi motivasi kepada diri – Apabila kita jatuh kita perlu bangun kembali dan tidak berputus asa
4. Mengenali emosi dalam diri orang lain – empati dan simpati dengan orang lain, tidak menyakiti orang lain. Takutnya kerana zaman ini zaman fitnah manusia sudah tidak peduli lagi, menyakiti orang lain menjadi biasa.
5. Mempunyai kemahiran dan kepekaan sosial - seperti boleh mengawal dan mengekalkan perhubungan
"Emotional Intelligence is a way of recognizing, understanding, and choosing how we think, feel, and act. It shapes our interactions with others and our understanding of ourselves. It defines how and what we learn; it allows us to set priorities; it determines the majority of our daily actions. Research suggests it is responsible for as much as 80% of the "success" in our lives." --From Handle With Care: Emotional Intelligence Activity Book