Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Monday, 7 May 2012

Strok sebelah badan

Angin ahmar pembunuh senyap

Oleh PROF MADYA DR LATIFFAH ABDUL LATIFF (Penolong Pengarah Institut Gerontologi UPM)

STROK atau angin ahmar juga dikenali sebagai serangan otak. Bayangkan diri anda, seorang yang sihat dan aktif, tiba-tiba pada suatu pagi apabila bangun tidur, anda dapati sebelah kiri atau kanan badan menjadi berat. Anda tidak berdaya menggerakkan tangan atau kaki kiri; sebelah kiri tubuh anda lumpuh.

Anda masih sedar dan faham percakapan orang, tetapi tidak berupaya melakukan aktiviti kehidupan harian seperti memakai pakaian, makan, mandi dan ke tandas. Sekarang anda bergantung sepenuhnya kepada ahli keluarga atau pembantu untuk meneruskan kehidupan.

Anda hilang harapan dan ahli keluarga juga berasa demikian. Ini antara beberapa perubahan cara hidup dialami individu yang diserang angin ahmar. Bagaimanapun, lama kelamaan anda akan sedar anda sangat bernasib baik kerana dipanjangkan umur.

Angin ahmar boleh menyerang sesiapa saja, di mana-mana dan pada bila-bila masa tanpa mengenal usia. Ia boleh membunuh. Jika mangsa mampu bertahan sekalipun, proses untuk sembuh memakan masa terlalu lama dan membabitkan kos penjagaan dan perawatan tinggi, selain menimbulkan ketegangan emosi dan mental.

Angin ahmar menyerang dalam diam. Berpunca daripada arterosklerosis, serangan berlaku pada otak, di mana pembuluh darah yang membawa oksigen dan nutrien ke sel otak tersumbat, tersekat atau lebih teruk, pecah. Keadaan ini menyebabkan bekalan darah ke otak terputus dan sel-sel otak akan mengalami kerosakan yang tidak boleh dibaiki.

Ini bermakna otak tidak boleh lagi menghantar atau menerima pesanan daripada atau kepada anggota lain, sekaligus melemahkan fungsi motor. Serangan membuatkan pesakit lumpuh separuh badan, pertuturan terjejas atau lebih teruk, hilang upaya dan terbiar terlantar kerana dianggap sudah tidak harapan sembuh.

Setiap hari, dianggarkan lebih 100 orang di negara kita diserang angin ahmar, yang menjadi pembunuh ketiga selepas serangan penyakit jantung dan kanser. Menurut kajian perubatan, walaupun strok sebenarnya boleh dicegah, malangnya kejadian baru strok di negara kita terus meningkat melebihi 40,000 kes setahun.

Pening kepala

Secara global pula, hampir 20 juta orang menderita strok di seluruh dunia dan 5.5 juta menemui ajal setiap tahun. Setiap seorang daripada empat individu yang diserang angin ahmar meninggal dunia dalam masa setahun selepas mendapat penyakit itu.

Kebanyakan mangsa strok tidak menyangka potensi mereka untuk mendapat serangan penyakit itu. Pada peringkat permulaan, apa yang mereka rasai hanya rasa lemah, letih dan pening kepala.

Secara tiba-tiba tubuh terasa berat, senget ke kanan atau kiri diikuti tangan atau kaki terasa kebas dan kaku. Separuh muka mungkin menjadi senget, tangan dan kaki tidak boleh digerakkan serta hilang suara atau suara jauh ke dalam, menyebabkan pertuturan mereka tidak boleh difahami.

Ramai tidak sedar, keadaan angin ahmar tidak akan menjadi teruk jika cepat dibawa ke hospital. Kebanyakan mangsa strok dan ahli keluarga tidak mengenal tanda amaran awal dan menyangka rasa letih, lesu dan fikiran tidak keruan adalah lumrah kerana terlalu penat bekerja.

Strok menjadi penyebab utama ketidakupayaan fizikal yang teruk. Mereka yang selamat pada serangan pertama strok mungkin mengalami ketidakupayaan kekal atau sementara seperti lumpuh sebelah badan dan kehilangan upaya bercakap, membaca atau menulis.

Mereka yang berisiko tinggi mendapat strok adalah individu yang menghidap darah tinggi, paras kolesterol tinggi, penyakit jantung, kencing manis dan mempunyai sejarah ahli keluarga mendapat strok.

Antara cara mencegah dan mengurangkan risiko serangan strok adalah kerap membuat pemeriksaan tekanan darah, berhenti merokok, kerap bersenam secara teratur, mengamalkan diet sihat, memeriksa secara berkala paras kolesterol dan denyutan nadi (untuk memastikan anda tidak mengalami fibrilasi atrial, iaitu pengecutan jantung yang tidak normal).

Setiap individu yang pernah melaluinya mungkin tidak dapat menerima hakikat masih ada kehidupan selepas serangan angin ahmar. Mereka tertekan disebabkan penyakit ini meragut segala-galanya kerana separuh tubuh mereka mati.

Daripada seorang yang aktif dan berdikari, secara tiba-tiba seluruh kehidupan individu itu terpaksa bergantung kepada orang lain, termasuk membersihkan najis sendiri.

Bagaimanapun, sebagai umat Islam, anda patut bersyukur dan sedar anda masih bernasib baik kerana dipanjangkan umur. Hidup perlu diteruskan dan kumpulkan sisa kekuatan yang masih tinggal untuk memulihkan semangat.

Berdasarkan kudrat yang ada atau dengan bantuan pembantu atau ahli keluarga, kebersihan diri seperti mandi dan mencuci rambut perlu dilakukan. Malah, pengambilan makanan berkhasiat serta air yang mencukupi juga penting bagi mengelakkan berbagai masalah kesihatan lain.

Bagi yang mengalami lumpuh anggota dan terlantar di katil, perubahan posisi dengan mengalih badan ke kiri dan ke kanan setiap dua jam perlu dilakukan untuk mengelakkan luka tekanan pada bahagian badan tertentu.

Mangsa strok memerlukan penjagaan ahli keluarga apabila mereka tidak lagi berupaya menjaga diri sendiri. Penjagaan dan bantuan ini diperlukan supaya mereka dapat terus memperolehi semula kehidupan seperti dulu, kalau tidak sepenuhnya pun, sekurang-kurangnya sebahagian.

Bantuan ahli keluarga juga penting. Penghidap strok perlu digalakkan melakukan latihan fisioterapi dengan penuh bersemangat. Latihan fisioterapi yang dilakukan dengan betul dan berterusan boleh membantu memulihkan fungsi motor anggota badan yang terjejas akibat serangan penyakit.

Kebanyakan ahli keluarga mangsa strok mengakui usaha menjaga mereka memerlukan pengorbanan, permuafakatan dan hubungan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi di kalangan suami atau isteri, anak-anak atau adik-beradik mangsa strok, seperti berkongsi menjaga segala keperluan, khususnya dari segi perbelanjaan, termasuk menggaji pembantu rumah, membeli lampin pakai buang dan meluangkan masa bersama mereka.

Kesabaran tinggi

Amalan ahli keluarga berkumpul di rumah ibu atau bapa yang menderita lumpuh akibat angin ahmar akan membuat mereka kelihatan lebih ceria dan bersemangat apabila dikelilingi anak dan cucu.

Penjagaan warga tua atau sesiapa saja yang diserang strok memerlukan kesabaran tinggi kerana mereka sensitif dan mudah tersentuh perasaan. Ada kalanya ahli keluarga atau pembantu dimarahi kerana terlewat memberi makan atau memandikannya.

Anggota keluarga yang menjaga harus faham, sesiapa pun akan marah apabila berkeadaan tidak upaya dan berasa rendah diri kerana terpaksa bergantung kepada orang lain.

Selain menyedia, menghidang makanan dan minuman, penjaga mangsa strok juga perlu tahu memeriksa dan mengambil tanda penting seperti suhu badan, nadi, tekanan darah dan berat badan. Mereka perlu menyuap makanan dan memastikan segala ubat-ubatan diberi mengikut masa dan cara yang betul.

Kesihatan fizikal, mental dan emosi penghidap strok perlu dikekalkan dengan melakukan aktiviti sosial dan riadah seperti menyanyi, memelihara haiwan peliharaan seperti ikan atau kucing, berkebun atau bersenam secara berkumpulan.

Keluhan utama ahli keluarga atau penjaga mangsa strok dalam menjalankan latihan fisioterapi di rumah biasanya berpunca daripada keengganan mangsa akibat kurang motivasi dan keyakinan.

Gesaan berlebihan daripada penjaga atau ahli keluarga akan menyebabkan pesakit menangis dan menganggap dia tidak lagi disayangi. Keadaan ini boleh diatasi dan dapatkan bantuan serta nasihat ahli Pertubuhan Kebangsaan Angin Ahmar Malaysia (NASAM) yang terletak di Petaling Jaya, Selangor.

Mangsa strok dan ahli keluarga akan diajar latihan fisioterapi dari kakitangan terlatih. Latihan menguatkan otot anggota yang lumpuh perlu dibuat seawal mungkin selepas mendapat serangan strok supaya tidak terus kaku dan keras hingga sukar dipulihkan.

Ramai mangsa strok mendapat faedah selepas menjalani latihan pemulihan di NASAM, di samping lebih ceria kerana dapat berjumpa rakan-rakan senasib. Mereka saling memberi dorongan untuk melakukan perubahan, walaupun sekadar untuk menggerakkan kaki atau tangan.

Pesakit juga biasanya akan lebih bersemangat apabila melihat mangsa lain bersungguh-sungguh berlatih mendaki anak tangga sehingga terdorong untuk melakukan perkara sama.

Ada mangsa strok yang ketika pertama kali sampai di pusat berkenaan dalam keadaan berkerusi roda, tiga bulan kemudian selepas menjalani rawatan, sudah boleh berjalan tanpa tongkat. Lebih menggembirakan, kini beliau boleh membawa kereta. Ingatlah, masih ada harapan untuk pulih selepas mendapat serangan angin ahmar jika anda terus berusaha.
Sumber http://bernama548.blogspot.com/2011/07/angin-ahmar-pembunuh-senyap_18.html

No comments:

Post a Comment