Selimut saya terbuka! 
Dibuka! YA Allah seorang lelaki bertopeng  menyuruh saya diam “SHHHHHH” 
katanya. “Barang kemas mana?” “Barang kemas  mana?” katanya. Tersedar 
saya, ini bukan mimpi lagi, rumah saya  dimasuki pencuri! Saya cuba 
tenangkan hati, dan menyorok muka juga tubuh  saya. Jawab saya dengan 
yakin “Saya tak pakai barang kemas, saya tak  ada barang kemas” Yang ada
 pada saya cuma cincin arwah tinggalan nenek  saya. Dengan berat hati 
saya membukanya, “Ini saja yang saya ada, cincin  nenek saya, nah ambil”
 balas saya “Saya memang tak suka barang kemas,  tak pakai barang kemas”
 kata saya lagi, cuba meyakinkan manusia ini  bahawa rumah ini memang 
tiada apa yang dicari. Seribu satu perasaan dan  sejuta lagi penyataan 
memecut laju didalam minda. Kenapa? Bagaimana? Apa  akan terjadi? Mana 
anak-anak saya? Siapa mereka? Mahu apa? Adakah saya  akan diapa-apakan?
Cincin belah rotan 
dengan tiga butir berlian kecil, mungkin tiada  nilai yang tinggi. Namun
 itulah peringatan asal usul dan ‘memori’ jati  diri ini. Separuh dari 
diri saya. Tidak tinggi dengan nilai harga,tetapi  tinggi dengan nilai 
jiwa. Cincin arwah Dorris Irene Wilmot yang dipakai  ketika 
perkahwinannya dulu. Dari Scotland ke England kemudian bersama  cincin 
itu juga dia berlayar bersama Leslie James Morgan Wlmot, grandpa  saya, 
ke Australia tatkala perang dunia ke-2. Saya sebenarnya mahu  memberinya
 kepada Amna satu hari nanti ,tapi apakan daya. Memori dan  nilai 
sentimental cincin itu amat tinggi sekali. Tidak apa, kerana  memori di 
dalam diri tidak mungkin dapat mereka curi.
Namun sebagaimana 
memori indah itu akan kekal dengan izinNya, memori  ngeri ini juga akan 
terus tersematl dalam diri. Seperti pita video buruk  yang rosak, 
gambaran kejadian berputar dan berputar kembali dalam  ingatan saya. 
Adakalanya bulu roma saya naik kembali, tangan dan tubuh  bergetar 
dengan sendiri. Wajah mereka kini sering menggangu dan  menghantui saya.
 Saya pasti, ianya mengambil masa untuk di’lupa’kan.  Bukan lupa 
sepenuhnya, namun lupakan ketakutan dan mencari kekuatan  kembali. 
Takut, resah, gelisah dan beribu perasaan lain, bercampur  seperti 
dicampurnya rencah di dalam kuali. Akhirnya, namun akhirnya  gulai itu 
sungguh enak sekali. Akhirnya, saya mengucap syukur  Alhamdulillah. 
Allah mahu membersihkan kami. Musibah demi musibah ,  membuatkan diri 
lebih dekat dengan Ilahi, “Syukur Ya Allah”  “Alhamdulillah” dan 
“Innalillah” bermain di bibir sejak pagi tadi.
Saya terfikir, 
siapakah dia insan ini, sehingga sanggup buat begini?  Mencuri demi wang
 ringgit semata. Ketika dipukul Ikhwan di kaki dan  kepala, mereka 
berkata, “Saya tak kacau orang, saya tak kacau orang”  dalam loghat 
Indonesianya. Ikhwan memberi amaran keapda mereka “Jangan  sentuh isteri saya”, “Jangan kacau anak saya”. Ikhwan dikejutkan ketika
  sedang menemani Imran yang demam, di kamar birunya. Diikat tangan 
suami  tercinta. Setelah Ikhwan menjerit, mengharapkan ada yang 
mendengar, saya  kemudian tergamam ketika perompak itu berkata “Sini, 
sini” cuba membuka  selimut saya.
Saya
 berjanji pada diri ,sekiranya orang ini cuba mengapakan saya,  saya 
akan bermatian sehingga nafas terakhir, memepertahankan maruah  saya.
 Saya juga wanita Aceh, darah pejuang mengalir di dalam badan saya.  
Rupanya Eka saudara saya dari Aceh yang kini membantu saya ditarik dari 
 kamarnya dibawah keatas dan disuruh bersama saya didalam selimut. Saya 
 memeluknya.
Anak-anak saya? Di 
mana mereka? Saya tertanya-tanya. Saya berikan dan  letakkan keselamatan
 diri mereka kepada Allah sepenuhnya. Saya yakin  mereka selamat. Doa saya setiap lepas solat adalah supaya Allah  memelihara mereka, kerana mereka bukan kepunyaan saya, mereka milik  Allah. Saya yakin pasti ada diantara doa saya didengari. Saya pasti!  Saya yakin! Tidak lama kemudian terdengar tangisan Imran.
“Imran!!! ” jerit 
saya, tanpa membuka cadar. Ikhwan masuk bersama  Imran ke kamar saya. 
Saya pegang badan panas Imran, dia masih demam, dan  Imran terus 
teresak-esak dalam pelukkan saya. “Naughty man, Ummi” kata  Imran pada 
saya. “Dia hit ayah Imran” katanya. “Imran tak de sword,  Imran” 
katanya. Allah, sucinya anak ini. Belum mengerti apa pun. Ini  bukan 
filem atau kartun anakku. Sword Imran tak akan mungkin membantu.  Satu 
ketika dahulu, perompak-perompak ini juga pernah suci dan comel  
sepertinya. “Ya Allah pelihara anakku” bisik saya dalam hati. Tidak lama
  selepas itu, Amna dan Azra dengan senyap memasuki cadar saya. Kami  
bertiga memeluk erat sesama sendiri. Sekali-sekali saya mengusap Eka  
disebelah saya. Saya harus berani untuk mereka. Saya tiba-tiba merasakan
  Ikhwan duduk dikaki saya. Alhamdulillah kami semua ada bersama.
Sekali lagi selimut saya ditarik, seorang lagi lelaki bertopeng  bertanya “Barang kemas mana?” Ikhwan berkata “Jangan sentuh dia, dia tak  ada tudung” MasyaAllah, begitulah suami saya menjaga kehormatan saya.  Dalam saat ini pun dia tidak mahu sesiapa pun melihat ‘hak’nya. Saya
  amat berbesar hati ketika itu. Maka kerana itulah luluh jantungnya  
melihat gambar saya dahulu di’post’ sesuka hati di alam maya.  
Kasihanilah saya dan dia. Janganlah buat begitu lagi ya? Pelihara aib  
orang lain supaya aib anda dan keluarga juga dijaga. Percayalah janji  
Allah itu benar, ini bukan janji manusia.
Sekali lagi saya 
menjawab membalas pertanyaan perompak ini, “Saya tak  pakai barang 
kemas, saya tak suka barang kemas” Ikhwan mengalih  perhatiannya kepada 
laci dihadapan. “Sini banyak barang mahal” tunjuk  Ikhwan. Manusia ini 
menggeledah laci tadi yang sebetulnya cuma termuat  aksesori lama. 
Rantai, gelang kayu, brooch yang dihiasi permata palsu.  Ya, saya tidak 
punya apa! Saya bukan penggemar emas dan intan permata.
Seorang lagi 
rakannya berhenti dihadapan rak buku kami. Itulah harta  saya, buku yang
 tersusn rapi. Rak demi rak buku didalam kamar. Itulah  saja ‘harta’ 
saya. Ilmu itu emas bagiku. Tak mungkin perompak ini  mengerti! 
Berdirinya dihadapan rak buku itu, dia seolah keliru. Tidak  tahu lagi 
apa harus dibuat dan kemana harus dituju. Dihampiri rak diatas  meja 
tulis, disitu penuh dengan buku lagi, dengan buku nota yang amat  
berharga bagi saya, segala nota kuliah, seminar dan persidangan ada  
disana. Saya yakin tidak akan mereka sentuh sama sekali! Juga tersusun  
di rak itu Quran-Quran saya. Sampainya dia memegang Quran berwarna hijau
  muda, Ikhwan berkata “Quran tak nak?” memerli sinis dirinya. Dia cuma 
 diam.
Ikhwan mula membaca Ayatul-Kursi dengan nada tinggi. Dia menyuruh  Ikhwan diam. Mungkin tergetar juga hatinya. Saya mengikut. Al-Falaq  menyusul.
“Katakanlah wahai Muhammad “Aku berlindung kepada Allah Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk. Dari bencana makhluk-makhluk yang ia diciptakan. Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk. Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan. Dan kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya.”
(Quran, Al-Falaq:1-5)
Saya, Amna dan Azra memabcanya berulang ulang dengan penuh yakin.  Akhirnya semua ini milik Allah jua “Ya Allah yang memiliki hati manusia,  timbulkanah perasaan gentar dan tidak selesa didalam jiwa mereka” doa  saya dalam hati.
 Saya cuma mampu berserah, dan ketika ini terasa makna  ketawhidan Illah
 yang begitu tinggi memuncak di dalam sanubari. Secara  tiba-tiba, 
terdengar motor pak jaga di luar rumah saya. Perompak  menyuruh kami 
diam. Tidak lama selepas itu, mereka beredar. Rupanya  Farah anak gadis 
Pak Fauzi Marzuki, jiran belakang saya ternampak  kelibat penyamun ini 
dari jendelanya. Dan siapakah yang menggerakkannya  untuk nampak 
rasanya? Ya Benar! Allah SWT.
Air mata saya 
menitis. Thank you Allah. Kuasa keyakinan itu amat  tinggi sekali. 
Keyakinan bahawa Allah akan bersama orang-orang yang mahu  bersamanya. 
“Ingatlah Aku dan Aku akan mengingatimu” Saya cukup yakin.  Janji Allah 
benar. Ini bukan janji manusia.
Amna masih trauma, 
sejurus setelah mereka keluar, setelah polis dan  jiran bersama kami. 
Amna terus muntah. Satu reaksi fisiologi yang biasa  bagi kanak-kanak 
yang trauma. Muntahnya hijau, namun lebih hijau lagi  emosinya. Saya 
akan cuba membina keberaniannya kembali. Satu pertanyaan  Amna yang 
membuatkan saya terhenti. “Why did they do that Ummi?”
Saya terdiam. 
Bagaimana harus saya jawab pada anak kecil ini? Ya  benar kita semua 
dilahirkan fitrahnya suci dari dosa. Ianya untuk anda fikirkan juga.
Yang masih trauma,
P/S :
 mungkin ada yg sudah baca artikel ni. tapi saya baru shj baca (: dan 
terus post disini. beberapa kata kata Wardina diatas, menyentuh hati 
saya. begitu kuatnya iman seorang muslimah. 
 





 
cerita ia menarik :)
ReplyDelete